KREW Fuji TV dari Jepun antara yang membuat liputan kemalangan pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota di Hospital Putrajaya. FOTO BERNAMA
KREW Fuji TV dari Jepun antara yang membuat liputan kemalangan pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota di Hospital Putrajaya. FOTO BERNAMA
BERNAMA

LIPUTAN meluas media Malaysia berhubung kemalangan membabitkan pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota, semalam, menarik perhatian wakil media Jepun untuk dijadikan bahan berita ketika menunggu perkembangan pemain Jepun berkenaan di Hospital Putrajaya hari ini.

Seawal jam 7 pagi, wakil media Jepun yang 'berkampung' di hospital berkenaan ‘memborong’ surat khabar tempatan termasuk akhbar berbahasa Melayu seperti Berita Harian dan Harian Metro di kedai serbaneka hospital untuk melihat gambar-gambar dan laporan berkaitan Momota.

Wakil media Jepun juga dilihat mengambil gambar akhbar Malaysia selain membuat 'stand upper' dengan memegang akhbar tempatan yang memaparkan laporan mengenai Momota sambil membuat ulasan.

Gambar memaparkan isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengunjungi Momota di Hospital Putrajaya digunakan secara dominan di muka depan akhbar New Straits Times dan begitu juga di ruang utama akhbar lain.

Antara yang media Jepun yang dilihat membuat ulasan mengenai liputan media tempatan mengenai Momota di sini ialah Asahi TV, Fuji TV dan Kyodo News.

Ketua Biro Kyodo News Singapura dan Malaysia Risa Suzuki berkata, beliau tidak menjangka berita mengenai nahas pemain badminton itu akan mendapat liputan yang meluas.

“Malah ia dilaporkan di muka hadapan. Saya tidak tahu yang Momota ada ramai peminat di Malaysia,” tambahnya.

Suzuki berkata, liputan meluas itu juga menunjukkan ramai rakyat Malaysia amat meminati sukan badminton.

“Sama seperti Malaysia, berita mengenai Momota turut dilaporkan dengan meluas oleh media di Jepun,” katanya.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi semalam, van membawa Momota dan tiga pegawai sukan yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), dilaporkan melanggar belakang lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan di Kilometer 13.7, Lebuhraya MEX di kawasan Serdang, mengakibatkan pemandu van, B.Nageswarau, 24, mati di tempat kejadian.

Selain Momota, 25, tiga lagi yang cedera dalam kemalangan itu ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, serta William Thomas, 30, pegawai teknikal Persekutuan Badminton Dunia, dan kesemua mereka dirawat di Hospital Putrajaya.

Ahad lalu Momota muncul juara perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena iaitu gelaran pertamanya pada kejohanan berprestij itu selepas beberapa tahun memburu gelaran berkenaan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 4:25 PM