MUJAHID (berdiri empat dari kanan) dan Dr Mahmoud Hussien (tiga dari kanan) bergambar bersama mangsa dan waris kren tumbang di Makkah, hari ini. FOTO Samadi Samad.
Samadi Ahmad


MANGSA dan waris tragedi kren tumbang ketika menaik taraf Masjidil Haram, Makkah pada 2015 berasa terharu apabila menerima sumbangan peribadi daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud di Putrajaya, hari ini.

Sumbangan disampaikan Duta Besar Di Raja Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan pada Majlis Jamuan Tengah Hari bersama Waris Dan Mangsa anjuran Tabung Haji (TH) bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Mahmoud Hussien berkata, pihaknya menzahirkan simpati kepada waris jemaah haji yang meninggal dunia dan cedera ketika kejadian itu.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi merakamkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji (TH) atas bantuan dan kerjasama diberikan semasa insiden itu.

Katanya, melalui kerjasama dan bantuan diberikan kerajaan Malaysia, pihaknya dapat mengenalpasti semua jemaah haji Malaysia yang terkorban.

“Kerajaan Arab Saudi turut memuji sikap prihatin TH kerana menziarahi waris dan keluarga mangsa selepas insiden termasuk mengadakan Badal Haji kepada mangsa yang meninggal dunia,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan di Kompleks Islam Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh dan Pengerusi TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

Seramai tujuh jemaah haji Malaysia terkorban dan dua lagi tercedera dalam kejadian kren tumbang itu masing-masing menerima sumbangan berjumlah 1 juta Riyal ( RM1.08 juta ) bagi yang meninggal dunia dan 500,000 Riyal (RM540,000) bagi mangsa cedera.

Salah seorang waris, Noor Farehah Abu Bakar, 40, dari Ampang berkata, mereka sekeluarga masih berasa sedih atas kehilangan ibu tercinta, Zainon Taha yang meninggal dunia dalam tragedi kren runtuh itu.

Menurut Farehah, sehingga hari ini beliau masih teringat lambaian diberikan sewaktu ibunya berangkat ke Makkah di Kompleks Haji, Kelana Jaya, lima tahun lalu.

“Itu adalah lambaian terakhir sebelum kami sekeluarga berpisah dengan ibu untuk selamanya.

“Ibu banyak menjauhkan diri daripada anak sebelum berangkat ke Makkah dan seolah-olah memberi petanda beliau akan berpisah dengan kami,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Beliau berkata, sehari selepas tiba di Makkah, arwah ibu ada menghubungi abang dan memaklumkan beliau sihat dan tidak mahu diganggu sepanjang mengerjakan haji.

Bagaimanapun, katanya, selepas tiga hari, mereka menerima berita sedih apabila ibu meninggal dunia ditimpa kren runtuh.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian ibu, lagi pun beliau meninggal dunia di tanah suci dan bukan semua orang dapat meninggal dunia di sana.

“Kami bercadang mendermakan sebahagian sumbangan itu kepada rumah kebajikan dan sebahagian lagi untuk mengerjakan umrah bersama adik beradik," katanya.

Sementara itu, Che Muda Che Tahir, 85, dari Pasir Mas, Kelantan, berkata peristiwa kren runtuh itu sukar dilupakan sehingga hari ini kerana mengorbankan isteri tercinta, Munah Jusoh.

Che Muda berkata, ketika kejadian beliau berada di Masjidil Haram bagi menunaikan solat Jumaat dan berjanji bersama isteri untuk berjumpa selepas solat Isyak.

Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, selepas solat Jumaat beliau kembali ke hotel dan tidak dapat berjumpa dengan isterinya yang ke masjid bersama tiga rakannya bagi menunaikan solat Asar.

“Selepas solat Isyak, rakan sebilik memaklumkan ada kejadian kren runtuh dan hati saya menjadi risau kerana isteri tidak kembali ke hotel dan sepatutnya kami berjumpa pada ketika itu.

“Pada keesokan harinya, saya menerima berita isteri ditimpa kemalangan dan meninggal dunia. Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kami sempat ke Makkah bersama-sama.

“Saya bersyukur atas keprihatinan kerajaan Arab Saudi memberikan sumbangan dan sebahagian sumbangan itu akan diinfak kepada rumah anak yatim. Moga-moga pahalanya dapat dikongsi bersama isteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 5:31 PM