NUR Dinie Damia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Sirat Darat, Kayu Ara Pasong, Pontian. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
NUR Dinie Damia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Sirat Darat, Kayu Ara Pasong, Pontian. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
BERNAMA

HOSPITAL Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sedang menjalankan kajian terperinci berhubung kematian kanak-kanak perempuan, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya masih menunggu keputusan laporan penuh daripada HSA berkaitan punca kematian sebenar dan akan memaklumkannya kepada umum dalam masa terdekat.

“Saya baharu sahaja berhubung dengan Pengarah Kesihatan Negeri Johor (pagi ini) dan beliau masih menunggu keputusan pakar di HSA dan Insya-Allah sekiranya laporan itu lengkap maka ia akan dimaklumkan kepada media.

“Mungkin keputusan akan keluar sebelum petang ini atau petang ini atau dalam tempoh yang segera,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek pembaikan dan baikpulih bangunan Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan persepsi sendiri berhubung kematian kanak-kanak itu sehingga keputusan laporan penuh dari hospital diumum.

“Sebab ia menjadi isu negara, (dan) sebab adik ini sudah diviralkan sebelum dia meninggal lagi, sehingga keluarganya pun minta jangan sebarkan berita yang belum berlaku.

“Satu perkara kita ingatkan kepada orang ramai, tunggulah laporan rasmi daripada pihak kerajaan untuk mendapatkan berita sebenar. Jangan kita suka-suka sebarkan maklumat yang tidak tepat, ia melukakan hati keluarga yang terbabit, memberikan satu gambaran yang negatif kepada satu pihak yang berwajib,” katanya.

Beliau dalam pada itu, turut merakam takziah atas pemergian Nur Dinie Damia dan turut menyifatkan pemergiannya sebagai kehilangan besar kepada keluarga serta sekolah.

Nur Dinie Damia, tujuh tahun, yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati, meninggal dunia di HSA pada 10.48 malam tadi.

Dia sebelum ini mendapatkan rawatan di HSA sejak 10 Jan selepas disyaki dijangkiti influenza, namun disahkan negatif daripada penyakit itu petang semalam.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Sirat Darat, Kampung Kayu Ara Pasong, dekat Pontian, 10 pagi hari ini.

Berita berkaitan

Jenazah Nur Dinie selamat dikebumi [METROTV]

Akhirnya, Nur Dinie pergi jua...

'Nur Dinie masih hidup' - Bapa

Nur Dinie Damia kini tenat, kritikal

Bukan hanya influenza, ada komplikasi lain

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 5:56 PM