Mohd Khalil. FOTO Sairien Nafis
Mohd Khalil. FOTO Sairien Nafis
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 231 individu ditahan dalam Operasi Ice Breaker yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di seluruh Selangor, pada 10 dan 11 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, operasi itu tertumpu di kawasan yang dijadikan sebagai sarang penagihan dadah.

“Daripada 231 individu yang kita tahan, 46 daripadanya adalah pembekal, 78 positif dadah dan 61 kerana memiliki dadah.

“Selain itu, 19 ditahan kerana memiliki air ketum, 13 mempunyai waran tangkap berkaitan dadah dan 14 lagi ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dalam operasi berkenaan.

“Kami merampas 2.27 kilogram syabu, ketamin (32.9 gram), heroin (227.81 gram), ganja (8.63 gram), pil ekstasi (5.74 gram), pil erimin 5 (27.34 gram) dan air ketum (1,401 liter).

“Keseluruhan dadah dan air ketum yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM120,650, manakala sitaan pelbagai barangan berjumlah RM106,400,” katanya.

Katanya, JSJN akan melakukan operasi berterusan dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 7:45 PM
Digital NSTP Subscribe