TAN Siew (kiri) bersama suaminya, Sew Kok Wee (kanan) menunjukkan keratan akhbar dan foto anaknya, Annie Kok Jin Cheng, yang mati dibunuh oleh Rambo Bentong pada 07 Mac 2009. FOTO AZHAR RAMLI
Farah Marshita Abdul Patah

KELUARGA Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Datuk Anthony Kevin Morais dan Annie Kok Yin Cheng menggesa kerajaan mengadakan pungutan suara di peringkat nasional atau referendum sebelum mengambil keputusan menghapuskan hukuman mati mandatori.

Menurut keluarga mangsa sekiranya hukuman mati mandatori dihapuskan maka perkara itu akan menjadi tidak adil, lebih-lebih lagi dalam kes membabitkan kematian secara sengaja.

Ibu Ying Cheng, Tan Siew Lin, 57, berkata anaknya hanya berusia 17 tahun ketika mangsa dirogol dan dibunuh Rabidin Satir atau lebih dikenali sebagai Rambo Bentong.

“Sejak kejadian yang berlaku pada 2009, saya sentiasa teringatkan dia (anak), terutama menjelang hari lahirnya, pada 6 Jun setiap tahun.

“Saya hanya akan rasa tenang sekiranya pembunuh anak saya dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya pada sidang media di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Sidang media turut disertai pengamal undang-undang antaranya Tan Sri Datuk Rober Phang, Adnan Seman dan Christine Teng.

Terdahulu lapan keluarga mangsa bersama bertemu Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori, yang dianggotai sembilan ahli termasuk Bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Sementara itu, peguam Christine Teng, yang mewakili keluarga mangsa, berkata penjenayah kini semakin canggih, di mana mereka mampu bersembunyi di belakang barisan peguam handalan.

Tegasnya, sekiranya kerajaan mahu menghapuskan hukuman mati mandatori, mereka terlebih dahulu perlu memperbaiki sistem perundangan negara.

“Kami mahu hukuman mati mandatori dikekalkan, terutama membabitkan kesalahan yang menyebabkan kematian dan pembunuhan dirancang.

“Keluarga mangsa hanya mahukan hukuman mati mandatori dan tidak akan menerima sebarang pampasan daripada kerajaan mahupun pesalah dalam usaha membebaskan mereka daripada tanggungjawab yang seharusnya dipikul,”

Pada 29 Ogos tahun lalu, kerajaan bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ditubuhkan untuk mengkaji secara keseluruhan dasar penghukuman bagi menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara Mahkamah.

Sementara itu, Rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori dibentangOktober tahun lalu di Dewan Rakyat selepas kerajaan memutuskan tempoh hukuman penjara yang setimpal sebagai alternatif kepada hukuman maksimum itu.

Pada November lalu, jemaah menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu untuk kesalahan membunuh.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada 13 November lalu.

Menurut beliau, keputusan yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu itu turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972.

Turut dinyatakan ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 9:27 PM