ANTARA ubat baytuk dirampas
Syaherah Mustafa


BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 63 botol ubat batuk bernilai RM1,890 dan wang kertas berjumlah RM1,436 di sebuah rumah di Kampung Gual Tok Deh, di Rantau Panjang, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan 10 pagi itu, anggota turut menahan seorang lelaki Melayu berusia 28 tahun yang ketika itu berada di bahagian dapur rumah.

Katanya, hasil soal siasat, suspek yang juga seorang penganggur mengaku menyimpan barang itu sebelum membawa anggota ke bilik utama kediaman terbabit.

"Selepas membuat pemeriksaan, anggota bertugas menemui sebuah kotak berwarna coklat di bawah katil yang diisi 63 botol yang mengandungi cecair disyaki ubat batuk.

"Selain itu, anggota turut menjumpai wang kertas kertas berjumlah RM1,436 dipercayai hasil daripada jualan ubat batuk kepada individu yang menjalankan sindiket memproses air ketum.

"Hasil maklumat mendapati kesemua ubat batuk ini untuk pasaran tempatan," katanya.

Azhari berkata, kesemua barang kes dan suspek sudah diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 8:49 AM