MOMOTA tiba di KLIA untuk pulang ke Jepun. FOTO Reuters
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.15 pagi ini untuk berlepas pulang ke Jepun.

Dia yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan pemandu van di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) Isnin lalu, menaiki buggy di pintu masuk KLIA seterusnya menuju ke Bilik Khas Pelepasan.

Momota yang mengalami kecederaan patah hidung kelihatan memakai penutup mulut dan berkaca mata.

Dia yang duduk di sebelah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kelihatan stabil.

Namun dua lagi penumpang van iaitu Yu Hirayama (penolong jurulatih Persatuan Badminton Jepun) kelihatan berjalan terhincut-hincut, manakala Morimoto Arkifumi (pegawai fisioterapi) memakai anduh di tangan kanan.

Sebelum ini, Momota dimasukkan di Hospital Putrajaya selama dua hari dan dibenarkan keluar 10 malam semalam sebelum dipindahkan ke hotel berdekatan KLIA.

Media tempatan dan Jepun yang hadir sejak awal 6 pagi tidak dibenarkan melakukan sebarang temubual dan hanya dibenarkan merakam video serta gambar.

Berita berkaitan:

  • Kento Momota keluar hospital
  • Momota gantung raket dua bulan
  • Media Jepun 'kepung' Hospital Putrajaya
  • Kemalangan Momota bukan sabotaj
  • Joo Bong turut berduka nasib Momota
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 9:29 AM