ANTARA warga Indonesia yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan tiga bot jongkong asing selepas didapati menceroboh kawasan perairan negara menerusi operasi khas, Ops Gelora di kawasan perairan Pulau Sidam, dekat Tawau, semalam.

Semua bot jongkong tanpa nombor pendaftaran itu dikesan oleh sepasukan anggota bot ronda PPM dan Unit Risikan Marin dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan, sebelum ditahan untuk pemeriksaan pada 6.10 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot jongkong terbabit disyaki menceroboh perairan untuk menjalankan aktiviti haram yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati tujuh lelaki membabitkan tekong dan kru bot masing-masing berumur antara 17 hingga 41 tahun.

“Semua suspek warga Indonesia itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semua suspek ditangkap dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Mohamad Pajeri berkata, PPM dari semasa ke semasa akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di laut bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk pencerobohan bot asing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 10:10 AM