TUNKU Zain Al’Abidin (dua dari kanan) berkenan melepaskan ikan sempena Karnival Pancing Seri Menanti 2020 yang akan berlangsung pada 19 Januari ini. FOTO Amran Yahya
TUNKU Zain Al’Abidin (dua dari kanan) berkenan melepaskan ikan sempena Karnival Pancing Seri Menanti 2020 yang akan berlangsung pada 19 Januari ini. FOTO Amran Yahya


HADIAH wang tunai lebih RM5,000 di samping 30 cabutan bertuah dan pelbagai hadiah menarik menanti kaki pancing pada Karnival Pancing Seri Menanti 2020 sempena Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-72 , pada 19 Januari ini.

Sempena karnival itu, penganjur iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Pilah melepaskan pelbagai jenis ikan sebagai simbolik pertandingan di Tasik Londa Naga, Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

Jurutera Daerah JPS, Mohd Firdaus Mat [email protected] berkata, lebih 2 tan terdiri daripada ikan patin, keli dan pacu dilepaskan dan berat dianggarkan satu hingga tujuh kilogram (kg) setiap ekor.

“Karnival ini saban tahun dianjurkan sempena Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan pastinya ia dinantikan kaki pancing seluruh negara.

“Kami mensasarkan lebih ramai penyertaan pada tahun ini kerana hadiah disediakan cukup lumayan dengan tempat pertama memperoleh RM3,000, kedua RM1,000 dan ketiga RM500 termasuk hadiah saguhati dan hadiah misteri bakal menanti kaki pancing.

“Disamping itu, penganjur menyediakan 30 hadiah untuk cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik. Yuran pendaftaran adalah sebanyak RM30 untuk satu joran,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, pendaftaran dibuka pada 2 Januari dan tarikh tutup pada 9 pagi 19 Januari ini dan borang boleh didapati di Pejabat JPS daerah pada waktu pejabat.

Beliau berkata, pada pertandingan kali ini, penggunaan umpan organ dalaman haiwan tidak dibenarkan kerana boleh menyebabkan bau kurang enak dan pencemaran alam.

Katanya, pertandingan dijadualkan bermula pada 8.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari.

Terdahulu, Tunku Zain Al’Abidin Ibni Tuanku Muhriz telah berkenan hadir melepaskan ikan-ikan berkenaan.

Hadir sama, wakil Pegawai Daerah Kuala Pilah, Akmal Rizal Farid Noordin dan Timbalan Pengarah JPS Negeri, Hayati Zainal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 1:33 PM