KEADAAN motosikal yang terbabit nahas mengakibatkan dua remaja maut. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


DUA remaja lelaki maut apabila motosikal ditunggang masing-masing bertembung di Kilometer (KM) 34.5 Jalan Sayong-Tanjung Belanja, berdekatan Kampung Seberang Manong, Kuala Kangsar, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, kedua-dua mangsa Muhammad Fakhrul Iezam Muhamad Azrul, 17 dan Mohamad Idham Ayoob, 15, meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar, ketika mendapat rawatan masing-masing jam 4.50 pagi dan tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan mendapati Muhammad Fakhrul Iezam yang penunggang Yamaha 125z dari arah Dataran Amanjaya Manong menuju ke Kampung Seberang Manong.

Katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal Honda C100 ditunggang Mohamad Idham yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa parah, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, 4.50 pagi dan tengah hari tadi.

“Pemeriksaan juga mendapati kedua-dua mangsa menunggang tanpa memiliki lesen,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 3:50 PM