GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shahrinnahar Latib


SEORANG wanita di Temerloh kerugian RM4,980 selepas mengemas kini akaun banknya melalui satu pautan palsu laman web sebuah bank menerusi e-mel, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 50 tahun itu menerima e-mel berkenaan yang memintanya mengemaskini akaun bank.

Katanya, mangsa tidak mengesyaki penipuan itu memasukkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) ketika mengemas kini maklumat perbankan internetnya itu.

“Mangsa kemudian menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dipercayai daripada pihak terbabit (sindiket penipuan) memaklumkan mangsa ada menambah akaun bank daripada bank lain sebagai ‘favourite account transfer’.

“Mangsa mula curiga lalu membuat semakan akaun bank dan mendapati wangnya berkurangan RM4,980 dan terus bertindak menyekat akaun banknya,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, selepas menyekat akaun banknya, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu tidak dikenali dipercayai anggota sindiket.

“Mangsa diminta untuk memberikan nombor empat digit terakhir kad banknya, namun mangsa tidak melayan sebaliknya terus menamatkan panggilan.

“Mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 3:51 PM