Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


“BERAT ujian ini tapi saya dan isteri cuba sedaya-upaya menunaikan kemahuan Ayish demi menggembirakan dia,” kata Faizul @ Mohd Faizul Zainuddin, 36, selepas anak bongsunya, Muhammad Qarizh Rayyan Faizul, 4, disahkan menghidap neuroblastoma (barah berkaitan saraf) tahap empat.

Faizul berkata, kehidupannya sekeluarga berubah sejak Muhammad Qarizh Rayyan yang mesra dipanggil Ayish disahkan mengidap penyakit itu lebih setahun lalu.

“Isteri, Noor Hafeena Ahmad, 31, terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Ayish.

“Lebih memilukan kami apabila doktor yang merawat Ayish memberitahu rawatan kemoterapi tidak lagi berkesan untuk melawan sel kanser yang merebak ke bahagian lain khususnya kelenjar bawah paha kiri.

“Keadaan ini menyebabkan Ayish hanya bergerak secara mengesot,” katanya ketika ditemui di Kampung Belakang Balai Polis, Padang Rengas.

Faizul yang bekerja sebagai atendan kesihatan warga emas berkata, imbasan ultrasound dan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dilakukan sejak mula Ayish dirawat mendapati ada bengkakan pada rusuk kiri sebelum muncul ketumbuhan pada hati sehingga pernah menyebabkan ia membesar hampir menyamai saiz kepala anaknya itu.

Katanya, keadaan itu memaksa dia mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan bagi menguruskan kemasukan dan rawatan anaknya di hospital selain isteri yang terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah.

Dia berkata, bagaimanapun pembedahan membuang ketumbuhan itu dijalankan pada Januari tahun lalu yang turut menyebabkan sebahagian organ hati anaknya dibuang selain membuatkan Ayish bergantung kepada rawatan kemoterapi sehingga Ogos tahun lalu.

FAIZUL mendukung bersama Ayish yang mengidap neuroblastoma. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

“Biarpun doktor mengatakan perubatan moden sudah tidak mampu merawat Ayish memandangkan kanser berada di tahap tiga atau empat sewaktu mula dikesan, saya masih berikhtiar melalui perubatan tradisional serta mengharapkan ada keajaiban berlaku.

“Buat masa sekarang, Ayish hanya bergantung kepada ubat tahan sakit yang dibekalkan pihak hospital kerana jika dihantar ke hospital pun, doktor hanya mampu mengenalpasti di mana sel kanser itu sudah merebak namun tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Bapa tiga anak itu berkata, biarpun sedih dengan keadaan anaknya, hatinya tabah menghadapi dugaan itu berbekalkan semangat dan sokongan moral dari saudara-mara serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang turut membantu.

Katanya, bantuan penyakit kritikal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang diterima belum memadai bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga termasuk dua anaknya yang bersekolah selain bagi kos membiayai perubatan alternatif untuk merawat Ayish.

“Sekarang saya berserah kepada takdir. Kali terakhir rawatan kemoterapi yang dijalankan adalah pada 13 Ogos 2019 dan disebabkan itu saya perlu segera mencari rawatan alternatif yang bersesuaian dengannya.

"Biarpun sedih menerima dugaan ini, saya dan isteri akan cuba sedaya upaya menunaikan kemahuan Ayish dan Alhamdulillah setakat ini beberapa pihak pernah tampil memenuhi keinginannya dengan memberikannya peluang menaiki jentolak pengorek tanah selain menghadiahkan permainan khas hasil inisiatif beberapa NGO," katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Faizul @ Mohd Faizul di nombor 019-4027718 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional miliknya (0820041000117676).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 3:53 PM