TINJAUAN di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya selepas dilaporkan sebanyak 20 pelajar dan seorang guru positif Influenza A. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Norzamira Che Noh


PENULARAN wabak Influenza menimbulkan kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa tetapi juga pihak sekolah dan pengusaha pusat jagaan kanak-kanak.

Bagaimanapun, terdapat juga ibu bapa atau penjaga yang mengambil mudah mengenai kesihatan anak-anak dan masih menghantar anak ke sekolah atau pusat jagaan walaupun mereka tidak sihat.

Pengetua OWL Kids Care Centre, Suraiza Sudin, berkata pihaknya memandang serius serta tegas terhadap ibu bapa yang menghantar anak yang tidak sihat ke pusat jagaan.

"Kami mengambil inisiatif dengan mengeluarkan notis kepada ibu bapa supaya tidak menghantar anak mereka ke pusat jagaan sekiranya mempunyai simptom demam seperti selsema atau batuk.

"Kami juga akan memeriksa sendiri suhu anak-anak yang dihantar di hadapan ibu bapa dan sekiranya suhu badan anak melebihi 37 darjah celcius, kami akan meminta mereka membawa pulang anak," katanya.

Beliau berkata, pihaknya perlu bertegas walaupun ada segelintir yang mendakwa anak mereka hanya demam biasa selain mereka juga sukar untuk mendapat cuti bagi menjaga anak di rumah.

Katanya, sekolah hanya akan menerima sekiranya anak-anak yang demam itu sudah diperiksa dan diperakui oleh doktor bahawa bebas Influenza.

"OWL Kids Care Centre adalah sekolah untuk anak-anak istimewa Autisme dan kita bimbang sekiranya berlaku penyebaran wabak, sukar untuk kita menguruskan mereka.

"Justeru, kami perlu tegas kerana tidak mahu membahayakan kesihatan anak-anak lain. Kami juga akan menjalankan kerja membasmi kuman (disinfect) setiap hari selepas waktu persekolahan," katanya.

Beliau berkata, pusat jagaan berkenaan menjaga seramai 40 pelajar yang berusia seawal dua setengah tahun sehingga 16 tahun.

Sementara itu, difahamkan, seramai 11 murid di sebuah sekolah rendah di sini diberikan cuti kerana dipercayai dijangkiti virus Influenza.

Seorang Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yang enggan dikenali, berkata sehingga kini keadaan terkawal dan murid yang demam diminta untuk tidak hadir ke sekolah.

"Bagi murid yang demam di sekolah, pihak sekolah akan meminta ibu bapa mengambil anak mereka dengan kadar segera.

"PIBG juga membekalkan pembersih tangan (Hand Sanitizer) dan pembersih permukaan (Surface Cleaner) kepada sekolah selain meminta ibu bapa yang anaknya disahkan Influenza untuk segera memaklumkan kepada guru kelas dan sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 3:57 PM