MAKLUMAT memaparkan penurunan air di empangan di Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Siti Sofia Md Nasir


DUA empangan di Pulau Pinang kini merekodkan paras air pada tahap kritikal, sekali gus menjadikannya yang terburuk dalam sejarah negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, sehingga semalam, Empangan Air Itam merekodkan kapasiti efektif 62 peratus, manakala Empangan Air Itam pula 39.5 peratus.

“Sejak November lalu, PBAPP sudah meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

“Bagi memenuhi permintaan bekalan air ketika musim perayaan, PBAPP mengoptimumkan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua di tanah besar, dan mengepam lebih banyak air terawat ke Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, merangkap Pengerusi PBAPP, Chow Kon Yeow dan EXCO Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Afif Bahardin.

Jaseni berkata, bagi mengelakkan catuan air atau bekalan air berjadual, PBAPP memohon kerjasama dan sokongan penduduk Pulau Pinang supaya menggunakan air secara berhemat.

KEADAAN empangan yang menunjukkan paras air berkurangan. FOTO Danial Saad.

Ditanya sama ada PBAPP ingin memohon daripada kerajaan Persekutuan bagi pembenihan awan, Jaseni berkata, proses itu akan dibuat sekiranya kapasiti efektif empangan mencapai 30 peratus.

“Biasanya, empangan di Pulau Pinang akan penuh 100 peratus pada setiap penghujung Disember atau ketika perayaan Krismas, tetapi tahun ini ia tidak berlaku.

“Kita juga menjangkakan perkara ini akan berlarutan sehingga April hadapan,” katanya.

Sementara itu, Dr Afif berkata, sebanyak 1,600 hektar kawasan tanaman padi di Pulau Pinang terjejas akibat kekurangan sumber bekalan air dan faktor musim kemarau.

Katanya, masalah itu memberi kesan kepada lebih 800 pesawah di Seberang Perai, yang kini sedang menunggu padi mencapai usia matang.

“Kebanyakan padi sekarang sudah berumur 70 hingga 80 hari dan memerlukan banyak air untuk bercambah dan dituai hasilnya.

“Bagaimanapun, saya sudah pun mengarahkan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri untuk membawa pam tambahan dari Kedah, sekali gus membantu petani di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 4:07 PM