NORLAILA Awang (kiri) dan Mohd Lokman Abdul Gani (kanan) meneliti kerosakan bumbung kediamannya akibat diterbangkan ribut di Kampung Bertam Hulu, Sungai Udang, Melaka. FOTO Hassan Omar

“SAYA laungkan azan dengan kuat apabila melihat satu demi satu bumbung zink rumah diterbangkan ribut,” kata mangsa ribut, Norlaila Awang, 44, hari ini.

Pada kejadian di Kampung Bertam Hulu, Sungai Udang di Melaka, jam 1.30 tengah hari kelmarin, kediaman Norlaila antara tujuh rumah yang rosak akibat ribut.

Seramai 35 mangsa terjejas namun tiada kecederaan direkodkan.

Mengimbau kejadian, Norlaila berkata, dia urut menyaksikan zink bumbung terkopak sebelum diterbangkan ribut.

“Dalam ketakutan, saya hanya berdoa supaya Allah SWT pelihara saya, ibu, Fatimah Talib yang berusia 81 tahun dan anak, Nafizal Harith Hussein, berumur 16 tahun daripada ditimpa zink atau alang bumbung yang patah satu demi satu,” katanya.

Menurut Norlaila, ketika kejadian, suaminya, Hussein Mohamad, 46, tiada di rumah kerana ada urusan di luar manakala mereka bertiga berehat di ruang tamu.

SAKI baki bumbung zink yang diterbangkan ribut di Kampung Bertam Hulu. FOTO Hassan Omar

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Mohd Lokman Abdul Gani berkata, kediaman Norlaila adalah yang paling teruk terjejas akibat kejadian terbabit manakala enam yang lain hanya mengalami kerosakan kecil pada bumbung.

“Pejabat Daerah Melaka Tengah sudah melakukan bancian jumlah kerosakan di kediaman Norlaila dan akan membaikinya secepat mungkin.

“Setiap keluarga mangsa ribut turut diberi bantuan oleh pelbagai pihak termasuk pejabat Ketua Menteri bagi meringankan beban untuk menjalankan kerja pembaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 4:13 PM