GOBIND SINGH DEO
Noor Atiqah Sulaiman

“PENCAPAIAN beberapa penggiat seni negara di pentas dunia baru-baru ini, termasuk pencalonan dua penerbit filem dari Malaysia sebagai finalis Anugerah Akademi (Oscars) ke-92 amat membanggakan,” ujar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua pencapaian itu adalah pengiktirafan kepada industri kreatif negara yang sentiasa menghasilkan pelbagai karya berkualiti di samping menonjolkan potensi serta bakat karyawan Malaysia di peringkat global.

Menurutnya, penerbit filem Malaysia yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Teng Poh Si dan Cheyenne Tan, menerbitkan sebuah dokumentari bertajuk ‘St. Louis Superman’ yang tercalon dalam kategori Dokumentari Terbaik - Subjek Pendek (Best Documentary Short Subject) di Oscars yang akan berlangsung pada 9 Februari ini.

Filem dokumentari berdurasi 25 minit arahan Smriti Mundhra dan Sami Khan itu mengisahkan perjalanan hidup Franks Jr, seorang aktivis dan penyanyi rap berbangsa Amerika yang bertanding sebagai Dewan Perwakilan Missouri (House of Representatives) pada tahun 2016 dan memenangi kerusi itu.

Gobind turut mengucapkan tahniah kepada syarikat Les’ Copaque Production, yang menerbitkan filem ‘Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal’ kerana menjadi filem animasi Malaysia pertama disenarai pendek bersama 31 filem animasi lain untuk pencalonan awal bagi kategori Filem Cereka Animasi Terbaik di Oscars.

“Walaupun tidak berjaya memasuki peringkat lima terbaik, kejayaan filem animasi tempatan yang menembusi platform antarabangsa seperti ini adalah amat membanggakan,” katanya.

Selain itu, Gobind berkata filem cereka dokumentari ‘M For Malaysia’ arahan Dian Lee dan Ineza Roussille pula dipilih secara rasmi bagi mewakili Malaysia dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik (International Feature Film).

“Walaupun tidak diumumkan sebagai finalis akhir, filem yang mengetengahkan kisah perjuangan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pakatan Harapan sewaktu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 meraih sambutan yang baik apabila ditayangkan di Malaysia serta berjaya menembusi beberapa festival filem antarabangsa,” katanya.

Gobind berkata, sebuah lagi filem tempatan ‘Guang’ arahan Quek Shio Chuan memenangi anugerah Filem Cereka Terbaik dan Lakon Layar Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-59 di Macau.

Katanya kejayaan filem bertemakan isu autisme itu adalah kejayaan sulung yang diraih negara untuk kategori tersebut sepanjang penganjuran festival sejak edisi pertama di Tokyo pada tahun 1954.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 6:15 PM