GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


PEMILIK laman sosial diingatkan supaya tidak menimbulkan suasana panik dalam kalangan rakyat berikutan penularan jangkitan virus Influenza, khususnya di Terengganu.

Ingatan itu dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak kepada pemilik laman sosial, terutama yang mendakwa vaksin dan katil di semua hospital di negeri itu tidak mencukupi.

Beliau berkata, setakat ini hanya sembilan kes Influenza di Terengganu, termasuk tiga kanak-kanak dijangkiti influenza A.

“Dakwaan disebarkan di laman sosial mendakwa katil di hospital tidak mencukupi dan kehabisan vaksin tidak berasas serta cuba mencetuskan suasana panik dalam kalangan rakyat.

“Kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan serta Jawatankuasa Majlis Pengurusan Kominiti Kampung (MPKK) sentiasa melakukan pemantauan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Dr Alias berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan semua wakil rakyat dan jawatankuasa MPKK untuk mengambil langkah pencegahan.

“Menteri Besar (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri) pada mesyuarat Exco meminta semua wakil rakyat dan MPKK supaya membantu Jabatan Kesihatan negeri dan daerah melakukan pencegahan,” katanya.

Ketika mengulas dakwaan vaksin tidak mencukupi, Dr Alias menjelaskan, bukan semua pesakit yang disyaki menghidap Influenza akan diberikan suntikan vaksin.

Katanya, suntikan vaksin hanya diberikan kepada pesakit berisiko, terutama kanak-kanak dan golongan dewasa berusia melebihi 65 tahun.

Mengenai perkembangan terbaharu kes Influenza di Terengganu, Dr Alias mengesahkan tiada peningkatan kes berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 6:35 PM