TAMIM (tengah) menceritakan masalah kesihatan kepada Pengarah Media dan Dokumentasi Aman Palestin, Anas Abdul Wahab. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BERJALAN 200 meter sehari untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Itu rutin harian dijalani Tamim Mansor, 52, yang mengalami lumpuh separuh badan iaitu di bahagian bahunya.

Tamim berkata, klinik kesihatan terdekat kira-kira 200 meter dari kem penempatannya di Kem Yasmin di Lembah Beqaa, Lubnan, menyebabkan dia terpaksa berjalan setiap hari untuk melakukan pemeriksaan.

“Saya lumpuh pada bahagian bahu sejak dua tahun lalu, namun masih boleh bergerak dan berjalan cuma klinik yang disediakan sedikit jauh dari kem.

“Mahu atau tidak, saya perlu ke klinik setiap hari menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan kekal kuat terutama untuk meneruskan perniagaan kedai runcit kecil-kecilan di dalam kem ini.

“Syukur hasil berniaga dapat digunakan untuk membayar kos perubatan,” katanya diterjemah penterjemah Aman Palestin.

Menurutnya, sebagai pelarian, dia bersyukur kerana disediakan dengan pelbagai kemudahan termasuk klinik kesihatan, makanan dan baju sejuk.

“Namun jika mempunyai klinik bergerak ia sudah pasti lebih memudahkan terutama buat individu yang uzur seperti saya.

“Di kem ini terdapat kira-kira 300 keluarga dan ada antara mereka mengalami masalah kesihatan yang teruk,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang lagi pelarian yang mengalami masalah kesihatan, Mohamad Yasir, 75, berkata, dia kini mendapatkan rawatan di klinik kesihatan disediakan Union of Relief and Development Association (URDA).

“Saya tidak mahu fikir apa-apa, apa yang pasti satu hari nanti saya akan mati. Hanya keluarga sahaja tahu bagaimana kami menikmati sumbangan diberikan kepada kami.

“Terima kasih kepada semua yang membantu kami,” katanya yang ditemui penulis ketika mengikuti misi sukarelawan Lubnan bersama Aman Palestin bagi menyerahkan bantuan musim sejuk kepada kira-kira 103 kem di Lembah Beqaa dan Aarsal.

Selain menyerahkan sumbangan, misi berkenaan turut menjalankan aktiviti khidmat masyarakat seperti membaiki khemah, membersihkan persekitaran kem dan membantu urusan pentadbiran.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh terus menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 6:47 PM