ANTARA 17 sekolah rendah di negeri Melaka mencatatkan kes influenza A, sejak 5 Januari lalu. FOTO Rasul Azli Samad
Nurul Fhatihah Zakinan

SITUASI wabak influenza di Melaka tidak membimbangkan dan tiada pesakit kronik dijangkiti virus berkenaan setakat semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Ismail Ali berkata, walaupun mengakui berlaku peningkatan jumlah dijangkiti namun keadaannya terkawal.

Pihaknya juga akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan bagi meningkatkan tahap kesedaran dengan mengutamakan penjagaan diri dan kebersihan.

“Keadaan ketika ini tidak serius (terkawal) dan belum ada keperluan untuk penutupan sekolah.

“Saya nasihati warga sekolah dan ibu bapa supaya ada kesedaran untuk menjalankan langkah pencegahan dengan kerap cuci tangan, banyakkan makan sayur dan buah selain memakai topeng mulut serta hidung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan operasi Ops Tahun Baharu Cina (TBC) 2020 di sebuah pasar raya di Cheng bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong juga penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri di Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai sikap tidak bertanggungjawab fasiliti perubatan swasta menawarkan vaksin mencegah influenza pada harga tinggi, Dr Ismail berkata, pihaknya akan memastikan bekalan secukupnya diberikan khususnya buat golongan sasar seperti kakitangan kesihatan dan pesakit kronik tanpa isu berbangkit.

DR Ismail. FOTO Khairunisah Lokman

“Buat masa ini, tiada polisi yang kita boleh kawal harga tetapi di bahagian farmasi, akan pastikan ubat berdaftar dan digunakan untuk pelanggan, ia tidak disimpan (disorok). Jadi, tiada isu daripada segi harga,” katanya.

Sementara itu, Low berkata, Jabatan Kesihatan merampas sejumlah 4,665 makanan bernilai RM75,933 atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 bagi tempoh bermula 6 hingga hari ini.

“Kesalahan tertinggi direkodkan adalah tiada tarikh luput selain pembungkusan tiada maklumat pengilang,” katanya.

Beliau turut mendedahkan pasar raya yang diperiksa dikesan tidak mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 iaitu tiada pelabelan alamat pengimport dan tidak mempamerkan papan tanda larangan penjualan minuman beralkohol kepada 21 tahun dan ke bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 7:49 PM