ABDUL Fattah (kanan) melawat di kedai koperasi di UMK. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Hazira Ahmad Zaidi


SEBANYAK 3,000 koperasi mikro di bawah program Barang Asas 100 (BA100) sedang dinaik taraf kepada koperasi sederhana secara berperingkat mulai bulan ini.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan koperasi ini memperoleh pendapatan lebih tinggi.

Katanya, sebelum ini koperasi mikro mendapat perolehan bawah RM1 juta, namun selepas ditransformasi kepada koperasi sederhana, perolehan sehingga RM2.4 juta setahun mampu diraih.

“Dalam fasa pertama iaitu bermula Januari hingga Mei, sebanyak 1,500 kedai koperasi didaftarkan, manakala fasa dua, dari Jun hingga November 1,500 lagi koperasi akan didaftarkan.

“Dianggarkan koperasi ini akan dilanggani 1,000 pengguna sebulan dan sasaran kita dalam kalangan berpendapatan rendah (B40) di bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Cawangan BA100 Peringkat IPT Malaysia di CoopMart Koperasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMK, Prof Datuk Ts Dr Noor Azizi Ismail.

Abdul Fattah berkata, ketika ini, pihaknya berusaha memperbaiki serta mengubah struktur pemasaran barangan runcit bagi mengelakkan orang tengah.

“Melalui penggunaan sistem e-commerce ia dapat mengurangkan peranan orang tengah, yang mana kedai runcit akan membuat tempahan secara berkumpulan,” katanya.

Sementara itu, Noor Azizi berkata, UMK menjadi Universiti Awam (UA) pertama di negara ini yang menawarkan program BA100.

Katanya, ia sebagai satu lonjakan untuk meningkatkan taraf operasi koperasi dalam bidang peruncitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 8:17 PM