X
Letupan sebuah kilang di Shah Alam, Selangor menyebabkan empat pekerja melecur.
Letupan sebuah kilang di Shah Alam, Selangor menyebabkan empat pekerja melecur.
Nurul Hidayah Bahaudin

EMPAT pekerja sebuah kilang elektrik di Persiaran Jubli, Seksyen 22, Shah Alam, Selangor, melecur sejurus premis berkenaan meletup.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.16 petang tadi.

"Seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan oleh orang awam bahawa berlaku letupan di dalam kilang berkenaan. Berdasarkan maklumat awam, empat mangsa yang juga pekerja kilang itu melecur akibat letupan itu," katanya tadi.

Hafisham berkata, letupan itu turut mengakibatkan kebakaran di dalam premis berkenaan.

"Anggota bomba bertugas berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran berkenaan beberapa minit kemudian.

"Kami belum dapat mengenal pasti punca sebenar letupan itu dan siasatan masih dilakukan," katanya.

Katanya, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 8:29 PM