GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil


SEBANYAK 432 notis kesalahan larangan merokok di premis makanan membabitkan jumlah keseluruhan kompaun RM103,600 dikeluarkan di seluruh negeri ini bagi tempoh 14 hari pelaksanaan larangan itu dikuatkuasakan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, pemeriksaan pula membabitkan 10,398 premis makanan.

“Sebanyak 271 notis dikeluarkan bagi kesalahan merokok di tempat makan, 89 notis bagi kesalahan penghuni tempat makan mempamerkan tanda larangan merokok serta 50 notis bagi kesalahan tanggungjawab pengusaha atau penghuni premis memastikan bahawa tiada seorang pun merokok di dalam tempat makan.

“Manakala 22 notis pula adalah bagi kesalahan orang belum dewasa merokok,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Veerapan, notis itu dikeluarkan kepada pemilik, pengusaha tempat makan dan perokok mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

“Sikap terlalu menjaga hati pelanggan dan ketagihan merokok menyebabkan masih ada pemilik dan perokok di negeri ini yang gagal mematuhi peraturan larangan merokok di premis makanan,” katanya.

Pada masa sama, Veerapan berkata, 60 aduan diterima dalam tempoh 14 hari pertama daripada orang awam dan kesemuanya sudah disiasat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama dan mengelak daripada melakukan provokasi atau kekerasan terhadap pegawai yang menjalankan tugas.

“Mereka yang cuba melakukan kekerasan atau provokasi terhadap pegawai berkaitan boleh disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 8:35 PM