Samadi Ahmad


PERSEKUTUAN Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) menerima persetujuan berhubung isu tulisan Jawi bagi menjaga keharmonian di kalangan rakyat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, berkata sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan secara sengaja atau tidak sengaja untuk menimbulkan isu perkauman dari isu tulisan jawi itu sehingga menimbulkan perkauman sempit dan rasa kebencian permusuhan kaum.

Beliau berkata, isu itu yang dipolemikkan menyebabkan pihaknya mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dan perbincangan membabitkan beberapa wakil dan kaum demi memelihara perpaduan.

“Sebanyak lima perkara dipersetujui dalam pertemuan itu demi memelihara kepentingan nasional dan masa depan Malaysia Baru” katanya di Putrajaya tadi selepas bertemu Dong Zong dan Jiao Zong.

Turut hadir, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dan Pengarah CHILD Information, Learning & Development Centre, K Arumugam .

Mujahid berkata, perkara pertama dipersetujui adalah semua pihak perlu meredakan ketegangan dalam isu yang menyinggung sensitiviti mana-mana pihak melalui pendekatan penuh berhikmah dan bijaksana.

“Ini bertujuan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh bagi mengeksploitasikan keadaan bagi agenda sempit mereka,” katanya.

MUJAHID Yusof bersama Tai Kim (kanan) selepas mengadakan perjumpaan mengenai isu tulisan jawi dalam pembelajaran di sekolah jenis kebangsaan di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Menurut beliau, Dong Zong sebenarnya bukan menentang pembelajaran Jawi, sebaliknya isu yang dibangkitkan adalah kaedah pelaksanaan pembelajaran yang memerlukan perbincangan secara konstruktif oleh semua pihak.

Katanya, perbincangan diadakan itu turut mencapai persetujuan bahawa pembelajaran Jawi tidak bermotifkan Islamisasi kepada mana-mana pelajar bukan Islam, malah ia adalah sebahagian daripada warisan budaya negara bangsa yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Kami juga bersepakat bahawa agenda rasis yang cuba meruntuhkan keharmonian masyarakat berbagai kaum dan bangsa perlu ditentang bersama secara kolektif supaya tidak ada budaya kebencian sesama rakyat di negara ini.”

“Dong Zong juga bersetuju berdialog dengan mana-mana pihak yang mempertikai termasuk menerima sebarang pandangan untuk kebaikan bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 8:51 PM