MAYAT Zulkifle yang ditemui meninggal dunia dalam rumahnya. FOTO Ihsan Bomba.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


“SAYA tak nampak arwah sejak kelmarin, dan menyangka dia tiada di rumahnya,” kata Salmah Ahmad, 48, jiran warga emas yang ditemui meninggal dunia di rumahnya di Jalan Lumpur, Alor Setar, hari ini.

Warga emas itu, Zulkifle Kassim, 66, ditemui terlentang di dalam bilik air oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar.

Salmah berkata, jiran-jiran sepakat memaklumkan kepada pihak bomba kerana curiga selepas dua hari kelibat warga emas itu tidak kelihatan di sekitar rumahnya.

“Saya tidak tahu arwah ada penyakit atau sebaliknya, kerana dia nampak sihat.

“Sebelum ini, saya kerap menegur arwah jika dia berada di rumah, namun lelaki itu hanya membalas dengan senyuman,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

Sementara, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 11.21 pagi berhubung khidmat khas pintu terkunci.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Anuar Hamid bersama lapan anggota dan dua jentera ke lokasi.

“Setibanya didapati terdapat mangsa terkunci seorang diri yang di dalam rumah.

“Anggota mengambil masa satu minit untuk membuka pintu rumah sebelum menemui mangsa di dalam bilik air dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya dalam kenyataan.

Mohamadul Ehsan berkata, anggotanya menggunakan ‘crawbar’ untuk membuka pintu selepas mendapat kebenaran waris mangsa.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. Operasi tamat 12.19 tengahari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 8:51 PM