X
Peter (empat dari kiri) menerima borang keahlian parti Warisan dari wakil penduduk Langkawit. FOTO Juwan Riduan
Peter (empat dari kiri) menerima borang keahlian parti Warisan dari wakil penduduk Langkawit. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


HIMPUNAN Solidariti Rakyat Bantah Aman Pas Sementara Sabah (PSS) yang diadakan di pekan lama Membakut, di Kimanis, semalam tidak mendapat sambutan masyarakat khususnya penduduk Kimanis.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony berkata, jumlah kehadiran yang terdiri daripada peserta luar itu sekali gus memperlihatkan himpunan berkenaan tidak mendapat sambutan.

"Dalam perhimpunan yang diadakan semalam penduduk Kimanis tidak datang sebaliknya peserta adalah orang dari kawasan luar.

"Mereka (penduduk Kimanis) tidak percaya kerana PSS adalah cadangan daripada kerajaan terdahulu.

"Mereka yang membawa masuk PATI bukan Warisan. Kita cuma baharu satu tahun sembilan bulan membentuk kerajaan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kempen di Langkawit, di Kimanis, malam tadi.

Semalam, kira-kira 600 peserta menyertai Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Aman PSS di pekan lama Membakut yang dianjurkan Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat Sabah (PIPA) dan Sorak Sabah.

Sementara itu, dalam program berkenaan, seramai 175 ahli UMNO bertindak keluar parti dan menyokong Warisan.

Peter yang juga Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah berkata, kemasukan ahli UMNO menguatkan lagi Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

"Berbaki dua hari lagi pengundian PRK Kimanis makin ramai memberi sokongan kepada Warisan. Ini menunjukkan sesuatu yang baik kepada calon Warisan Datuk Karim Bujang bagi mencipta sejarah pada 18 Januari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 12:39 PM
Digital NSTP Subscribe