MENTERI Kewangan Lim Guan Eng, megulas kebimbingan kemungkinan maklumat peribadi disalahgunakan oleh pihak ketiga. FOTO BERNAMA
MENTERI Kewangan Lim Guan Eng, megulas kebimbingan kemungkinan maklumat peribadi disalahgunakan oleh pihak ketiga. FOTO BERNAMA
BERNAMA

SEBANYAK RM10 juta dibelanjakan oleh penerima pada hari pertama program e-Tunai Rakyat yang bermula semalam, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurutnya, setakat 10 malam tadi, ketiga-tiga pengendali platform e-dompet terbabit iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet meluluskan sebanyak 320,000 daripada 380,000 permohonan yang diterima.

“Pelaksanaan inisiatif transaksi tanpa tunai ini merupakan langkah penting ke arah ketelusan dan kebertanggungjawaban kerana ia adalah antara cara untuk kita menangani gejala rasuah,” katanya pada sidang media sempena kempen inisiatif e-Tunai Rakyat, di sini, hari ini.

Selain itu, Lim berkata, kerajaan juga bersedia menambah peruntukan bagi inisiatif tersebut sekiranya dana awal itu habis digunakan.

Mengulas kebimbangan disuarakan pihak tertentu mengenai kemungkinan maklumat peribadi mereka disalahgunakan oleh pihak ketiga, beliau berkata, pihak kerajaan amat tegas dalam perkara tersebut dengan turut meletakkannya di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Malah, beliau turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa mana-mana maklumat peribadi yang disertakan bagi permohonan inisiatif itu tidak akan dikongsi dengan pihak ketiga.

“Kita faham orang ramai bimbang jika aspek seperti corak perbelanjaan mereka akan disalahgunakan oleh pihak ketiga.

“Kita bukannya menjalankan satu perniagaan dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak atau pertubuhan mengaut untung daripadanya.

“Inisiatif ini adalah di bawah Khazanah Nasional Bhd yang juga dana kekayaan negara. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menerima arahan daripada kerajaan,” katanya.

Dianggarkan sebanyak 15 juta rakyat Malaysia layak menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet tersebut bermula semalam sehingga 14 Mac.

Di bawah program ini, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima RM30 dalam bentuk e-kredit melalui mana-mana aplikasi e-dompet yang terlibat.

Wang tersebut perlu dibelanjakan antara 15 Januari hingga 14 Mac 2020 dan mana-mana bahagian yang tidak dibelanjakan akan luput selepas tempoh tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 2:00 PM