Mohamed Farid Noh


DUA bayi berusia sembilan bulan disahkan positif Influenza A dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan berkata, kedua-duanya bayi berkenaan dirawat di HSA sejak lima dan tiga hari lalu.

Katanya, bagaimanapun keadaan mereka kini stabil dan berada di bawah pemantauan pakar.

"Selain itu, terdapat tujuh lagi kanak-kanak berusia antara setahun sehingga lima tahun yang turut disahkan positif Influenza A dan dirawat di hospital ini.

"Manakala lapan dewasa yang kebanyakannya adalah warga emas dan pesakit kronik turut positif Influenza A dan sedang dirawat di kawasan yang dikhaskan untuk mereka.

"Jumlah pesakit positif Influenza A yang dirawat di hospital ini adalah 17 orang kesemuanya," katanya pada sidang media di HSA, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu dan Pengarah HSA, Dr Mohtar [email protected].

Sementara itu, Aminolhuda menasihatkan ibu bapa yang mempunyai bayi dan anak kecil supaya mengelakkan membawa mereka ke kawasan tumpuan ramai terutama di dalam bangunan atau tertutup buat sementara waktu.

"Ini kerana kawasan tertutup adalah lebih mudah dan cepat merebaknya jangkitan kuman menerusi udara terutama jika terdapat orang tidak sihat di sekitarnya," katanya.

Beliau berkata, sekolah di negeri ini juga sudah diarahkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengasingkan murid atau pelajar yang disyaki atau kelihatan tidak sihat.

"Murid dan pelajar yang tidak sihat sudah diarahkan tidak perlu hadir ke sekolah.

"Namun jika mereka tetap hadir, sekolah sudah diminta mengasingkan mereka sementara sebelum memaklumkan ibu bapa untuk mengambil dan menghantar ke klinik atau hospital berhampiran bagi dirawat supaya penularan wabak termasuk influenza dapat diminimumkan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 5:05 PM