NOOR HISHAM ABDULLAH
NOOR HISHAM ABDULLAH
Sri Ayu Kartika Amri


SITUASI influenza di Malaysia tiada kaitan dengan jangkitan novel coronavirus di Wuhan, China.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum laporan terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai wabak novel coronavirus yang dilaporkan di Wuhan.

Katanya, pada 31 Disember 2019, pihak berkuasa China melaporkan kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) yang tidak diketahui punca jangkitannya membabitkan masyarakat setempat di Wuhan.

“Pihak berkuasa China juga melaporkan kepada WHO pada 5 Januari 2020 bahawa jangkitan itu bukanlah jangkitan influenza, avian flu, adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome coronavirus (MERS-CoV) atau Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS).

“Seterusnya pada 12 Januari 2020, WHO mengesahkan bahawa wabak yang berlaku di Wuhan adalah disebabkan oleh jangkitan daripada novel coronavirus,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, cara jangkitan dan penularan novel coronavirus itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 41 kes radang paru-paru di Wuhan didapati positif novel coronavirus dan daripada jumlah itu, satu kematian dilaporkan dengan tujuh kes berada dalam keadaan kritikal dan kes lain adalah stabil.

Katanya, berdasarkan pemantauan yang dijalankan, buat masa ini, tiada kes disyaki novel coronavirus dilaporkan di negara ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehubungan itu, KKM menegaskan bahawa situasi jangkitan influenza di Malaysia sekarang tiada kaitan dengan kejadian novel coronavirus di Wuhan dan situasi influenza adalah terkawal.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:06 PM