HABIBAH Abdul Rahim. FOTO arkib NSTP
HABIBAH Abdul Rahim. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pelantikan Dr Habibah Abdul Rahim sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) yang baharu berkuat kuasa 10 Januari lalu.

KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, Habibah, 58, menggantikan Datuk Dr Amin Senin yang bersara wajib pada 21 Disember lalu.

Menurutnya, Habibah adalah KPPM yang ke-17 dan wanita kedua menggalas jawatan itu.

“Beliau memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada 1986 sebagai guru di beberapa sekolah di Selangor dan Kedah sebelum menyambung perkhidmatan di pelbagai organisasi di KPM.

“Antara jawatan yang pernah disandangnya di KPM termasuk Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Pengarah Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan dan Pensyarah Kanan di Institut Aminuddin Baki.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Biologi dari University of Salford, United Kingdom pada 1984. Beliau kemudian meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pendidikan di University of Bristol, United Kingdom pada 1993,” katanya.

Menurutnya, Habibah memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan dari Stanford University, Amerika Syarikat pada 2001.

Katanya, berbekalkan kepakaran, pengalaman dan pencapaian yang cemerlang, KPM yakin Habibah mampu untuk terus meningkatkan prestasi pendidikan negara selaras hasrat yang diaspirasikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 7:44 PM