Umat Islam di Masjid Jamek At Taqwa Tanjung Gading Barat mengadakan solat hajat. FOTO Badrul Kamal Zakaria
Umat Islam di Masjid Jamek At Taqwa Tanjung Gading Barat mengadakan solat hajat. FOTO Badrul Kamal Zakaria
Badrul Kamal Zakaria

UMAT Islam di Johor mengadakan solat sunat hajat bagi memohon pertolongan kepada Allah bagi membendung penularan wabak influenza di negeri itu.

Solat hajat itu diadakan di 807 masjid di negeri itu sejurus selepas selesai solat Jumaat hari ini.

Selain itu, 1,928 surau di seluruh Johor turut mengadakan solat hajat supaya penularan wabak penyakit itu dapat dibendung sepenuhnya.

Sementara itu, lebih 100 jemaah menyertai solat hajat di Masjid Jamek At Taqwa, Kampung Tanjung Gading Barat di Tangkak dipimpin Imam Satu masjid berkenaan, Abdul Rahman Abdul Karim selepas solat Jumaat diadakan.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 807 masjid dan 1,928 surau di seluruh Johor diarah mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat hari ini bagi memohon pertolongan Allah untuk membendung penularan wabak influenza.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Shamsudin berkata, surat arahan itu diedarkan ke semua masjid dan surau sejak Selasa lalu.

“Solat hajat diadakan bagi memohon kepada Allah supaya penularan jangkitan influenza di negeri ini dan seluruh negara dapat dibendung.

“Solat hajat itu juga bagi memohon Allah SWT mengurniakan kesejahteraan, keselamatan, keafiatan dan dilindungi dari wabak penyakit termasuk influenza kepada seluruh rakyat Johor,” katanya.

Pada Ahad lalu, media melaporkan kira-kira 89 murid dan pelajar di negeri itu disyaki dijangkiti influenza membabitkan tujuh daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 3:38 PM