X
PEGAWAI KPDNHEP merampas tong petroleum cecair (LPG) bersubsidi dari sebuah stor tersorok di Jalan Kebun, Klang, Selangor. FOTO oleh KPDNHEP.
PEGAWAI KPDNHEP merampas tong petroleum cecair (LPG) bersubsidi dari sebuah stor tersorok di Jalan Kebun, Klang, Selangor. FOTO oleh KPDNHEP.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

PENGAWAL upahan di arah berkawal sepanjang masa di belakang pintu pagar utama bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Itu antara taktik digunakan sindiket kegiatan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang beroperasi di lokasi tersorok di Jalan Kebun, Klang, Selangor.

Difahamkan sindiket itu turut mengupah pekerja warga asing dengan bayaran RM1,200 sebulan khusus untuk melakukan tugas memindahkan gas dari tong LPG subsidi ke tong industri secara haram.

Ketua Seksyen Siasatan Bahagian Penguatkuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, kegiatan penyelewengan itu bagaimanapun dibongkar susulan serbuan dilakukan jam 11.30 pagi semalam.

Bagaimanapun `tonto’ yang diarahkan berkawal di pintu masuk dan menyalurkan maklumat berhubung kehadiran pegawai KPDNHEP sempat melarikan diri.

“Siasatan dilakukan lapan anggota penguatkuasa KPDNHEP Ibu pejabat Putrajaya mendapati stor itu digunakan sebagai lokasi memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri.

“Dalam pemeriksaan itu, pihak KPDNHEP menemui sejumlah 58 tong gas LPG 50 kg (kilogram) untuk kegunaan industri, sembilan tong LPG 14 kg dan 95 tong kosong LPG 14 kg,” katanya.

Menurutnya, turut ditemui peralatan digunakan untuk memindahkan gas seperti hos dan penimbang.

“Kesemua barangan itu dirampas termasuk sebuah lori. Kami anggarkan barangan disita dianggarkan bernilai RM78,400.

“Dalam serbuan itu, kami turut menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 29 dan 39 tahun yang sedang berada di dalam stor itu,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu ditangkap dan direman untuk membantu siasatan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan untuk melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan urus niaga barang kawalan berjadual LPG tanpa lesen sah.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 8:35 PM
Digital NSTP Subscribe