ANGGOTA MAQIS menunjukkan kerapu bara yang cuba diseludup masuk dari Singapura. FOTO ihsan MAQIS
Raja Noraina Raja Rahim


CUBAAN seorang lelaki menyeludup masuk kerapu bara gagal apabila ditahan anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru, hari ini.

Lelaki berusia 30-an yang juga pemandu lori itu dikatakan membawa spesies ikan terbabit dari Singapura ke negara ini.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap lori itu di laluan lori import KSAB, jam 4.30 petang.

“Kerapu bara berkenaan diletakkan di dalam 10 bekas polisterin berasingan seberat 243.5 kilogram yang dianggarkan bernilai RM30,437.50.

“Ikan itu dipercayai dibawa masuk untuk pasaran sekitar Johor Bahru memandangkan ianya mendapat permintaan tinggi pada masa kini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nur Afifah berkata, pemandu lori itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana tiada dokumen sah seperti permit import dan sijil kesihatan dari negara asal.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Beliau berkata, MAQIS komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 10:27 PM