LORI terbalik dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya Persekutuan berhampiran pintu gerbang Kota Darul Ehsan. FOTO ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


LORI membawa muatan minyak masak terpakai terbalik dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya Persekutuan arah Klang, berhampiran pintu gerbang Kota Darul Ehsan di Petaling Jaya, hari ini.

Kejadian 6.45 petang itu turut mengakibatkan kesesakan teruk berikutan berlaku tumpahan minyak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila bas di lorong tengah melanggar belakang lori membawa muatan minyak masak terpakai.

“Akibat pelanggaran, lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas merempuh dua kenderaan lain sebelum terbalik dan mengakibatkan muatan minyak masak tumpah di jalan raya.

“Pemandu lori cedera manakala empat pemandu lain selamat. Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, pasukan bomba turut dipanggil ke lokasi bagi membersihkan tumpahan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Al Rassid Mohd Borhanudin di talian 019-9905570.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 10:49 PM