MOHD Faizul (kanan) bersama rakan pensyarah PSMZA menunggu perkembangan pencarian mangsa termasuk Mohamad Amir (gambar kecil) di Pantai Teluk Bidara. FOTO ROSLI ILHAM
MOHD Faizul (kanan) bersama rakan pensyarah PSMZA menunggu perkembangan pencarian mangsa termasuk Mohamad Amir (gambar kecil) di Pantai Teluk Bidara. FOTO ROSLI ILHAM


SEORANG daripada empat penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara bakal mewakili Melaka pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor, Jun ini.

Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, 21, berasal dari Air Keroh, Melaka adalah atlet silat olahraga Melaka.

Pensyarah PSMZA Dungun, yang juga guru silatnya, Mohd Faizul Abu Bakar, 39, berkata, beliau terkejut menerima berita yang menimpa anak buahnya itu.

"Saya terima berita sedih itu kira-kira 7 malam dan bergegas ke lokasi kejadian untuk mengesahkan perkara itu.

"Saya sangat sedih selepas mendapat pengesahan daripada polis berhubung kejadian yang menimpa dia dan rakan-rakannya itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Menurutnya, beliau kali terakhir melatih mangsa bersama 50 pelatih lain pada malam Rabu lalu dan Mohamad Amir kelihatan pelik dan pediam sepanjang dua jam melatihnya.

"Dia adalah atlet silat yang sangat baik dan sentiasa mengharumkan nama PSMZA dan kali terakhir dia (Amir) muncul juara Kejohanan Silat Tempur Politeknik Malaysia tahun lalu.

"Sebaik melapor diri di PASMZA pada 2017, dia datang bertemu saya untuk belajar silat dan dia berjaya membanggakan hati saya dan kerap menang bertanding," katanya.

Mohd Faizul berkata, selain mangsa, beliau juga turut melatih ramai lagi pelajar PSMZA yang terbabit dalam SUKMA termasuk Terengganu dan Kelantan.

"Amir pernah cakap dia berharap sangat dapat mewakili negara suatu masa nanti dan sekiranya ditakdirkan Amir ditemui lemas, saya sangat bersedih.

"Saya kehilangan seorang atlet yang baik dan kita kehilangan seorang atlet yang sangat cemerlang untuk negeri Terengganu, Melaka dan negara," katanya.

Menurutnya, selain Amir, dia termasuk pensyarah yang lain sering menasihati pelajar supaya tidak mandi di pantai termasuk di kawasan air terjun.

"Nak buat macamana perkara ini tetap berlaku dan sesungguhnya takdir, ajal dan maut adalah hak milik yang maha berkuasa," katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, Mohamad Amir bersama tiga rakannya iaitu Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21; Muhammad Zul Fahmi Zuki,21; dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak besar.

Bagaimanapun, dua lagi rakan mereka, Muhamad Irfan Kamaruzaman, 21, dan Hazman Zamili, 21, berjaya menyelamatkan diri.

Berita berkaitan:

  • 4 penuntut politeknik dikhuatiri lemas
  • Terpisah dipukul ombak
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 12:38 AM