Suraya Roslan

KOMPLEKS Balai Islam An-Nur milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkonsepkan teknologi mesra alam dan moden antara mercu tanda baharu Ibu Pejabat TNB.

Memenuhi aspek Indeks Bangunan Hijau (GBI), kompleks itu menggunakan lampu facade di kubah yang boleh diprogramkan serta dilengkapi sistem penuaian air hujan untuk menakung air wuduk.

Kelmarin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan kompleks yang bina di atas tanah seluas 2.83 hektar itu sempena ulang tahun ke-70 TNB pada 1 September lalu.

Kompleks Balai Islam baharu itu dibina bagi menggantikan Balai Islam lama yang dibuka pada 1971.

KOMPLEKS Balai Islam An-Nur memenuhi aspek Indeks Bangunan Hijau.

Ia selaras dengan hasrat TNB untuk terus menjadi komuniti korporat prihatin selain membuka pintu perkongsian kemudahan dengan masyarakat sekitar Lembah Pantai.

Ketua Unit Hal Ehwal Islam TNB, Fajuri Mamat berkata, konsep pembinaan Kompleks Balai Islam An-Nur berdasarkan prinsip kesederhanaan, inklusif dan menghormati alam sekitar.

“Seni binanya kontemporari, elegan namun tidak terlalu sarat dengan hiasan terserlah pada rekaan kubah, menara dan dewan solat.

“Ia intepretasi moden sebuah masjid tradisional dilengkapi saiz tangki untuk sistem penuaian air hujan sebanyak 184 meter padu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

RUANG solat utama mampu menampung 1,300 jemaah.

Katanya, kompleks tiga tingkat lengkap dengan lif itu mempunyai tiga ruang solat yang boleh memuatkan 2,850 jemaah dalam satu-satu masa.

“Di ruang solat utama mampu menampung 1,300 jemaah, ruang tanpa tiang pula 1,050 jemaah, 250 untuk ruang Muslimat (aras mezanin) dan 1,550 lagi di ruang solat tambahan.

“Selain ruang solat, kompleks ini juga menempatkan pejabat dan kuarters kakitangan Unit Hal Ehwal Islam TNB, dewan seminar dan ruang letak kenderaan dua tingkat berkapasiti 236 lot serta kafeteria dan juga kemudahan pengurusan jenazah,” katanya.

KAWASAN wuduk yang luas.

Menurutnya, sebagai peneraju dalam industri tenaga, TNB menekankan agenda pelestarian alam sekitar dengan menerapkan pelbagai teknologi mesra alam pada binaan kompleks Balai Islam yang menjadikan sebuah bangunan memenuhi kriteria GBI.

“Keseluruhan kompleks ini dilengkapi lampu menggunakan mentol jimat tenaga, pemasangan paip aliran rendah bagi penjimatan air dan penggunaan sistem siphonik bagi aliran air dari bumbung yang efisien,” katanya.

Fajuri berkata, pengurusan TNB turut memberi peluang kepada tenaga kerja membuat pelaburan akhirat apabila meluluskan tabung infaq bagi membina kompleks berkenaan.

“Dalam tempoh enam bulan sebanyak RM500,000 terkumpul hasil sumbangan infaq tenaga kerja TNB seluruh negara.

“Harapan saya, kompleks Balai Islam ini menjadi pusat ilmu dan ibadah dengan kehadiran anggota kerja mengimarahkan masjid,” katanya.

ANTARA hiasan di dalam Kompleks Balai Islam An-Nur, Bangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 6:01 AM