SEBUAH MPV turut terbakar dalam kebakaran awal pagi. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


KEDAI perabot dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza musnah dalam kebakaran di bangunan komersial, Jalan 3, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.13 pagi.

“Seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah kedai perabot dan sebuah Toyota Avanza.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya oleh anggota bertugas beberapa minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa yang dilapor cedera, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 8:33 AM