PENGUAT KUASA memeriksa pasangan itu. FOTO Ihsan JAIK.
Zuliaty Zulkiffli


TIGA hari meninggalkan rumah tanpa pengetahuan suami, seorang wanita dari Changlun rupanya mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki.

Dia akhirnya ‘kantoi’ apabila dicekup berkhalwat di sebuah hotel di daerah itu, pada 4 pagi hari ini bersama lelaki berusia 37 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK Kedah, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, serbuan diketuai Mohd Farahi Mohd Jamil selepas menerima aduan berhubung kegiatan maksiat pasangan itu.

“Selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita membuka pintu lima minit kemudian dan didapati memakai kemeja T dan bertuala.

“Anggota menemui lelaki berusia 37 tahun bersembunyi di dalam bilik air, manakala seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun berbaring atas katil ,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Radzi berkata, pemeriksaan dibuat dan mereka didapati tidak mempunyai sebarang hubungan mahram mahupun suami isteri dan ditahan kerana disyaki berkhalwat.

Katanya, siasatan juga mendapati kanak-kanak lelaki itu adalah anak kepada wanita terbabit yang dipercayai dibawa bersama untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Pemeriksaan juga mendapati wanita masih berstatus isteri orang dan mereka mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, pihaknya turut menemui lima paket lutsinar disyaki dadah yang jatuh ke lantai ketika pasangan itu mengemas barangan mereka.

Susulan itu, anggotanya menghubungi Balai Polis Changlun untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 10:09 AM