Rosli Ilham


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) empat penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Bidara Seberang Pintasan, diteruskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, seramai 55 anggota polis termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam APM, RELA dan penduduk kampung terbabit pencarian itu.

Katanya, laut tenang membolehkan pasukan SAR menggunakan dua bot untuk pencarian di tengah laut.

“Petang semalam, ombak besar membantutkan usaha pencarian di laut namun kita tidak hentikan usaha mencari mangsa di pesisir pantai.

“Pasukan SAR bergilir-gilir melakukan rondaan membabitkan jarak pencarian sekitar tiga kilometer,” katanya ketika ditemui.

Baharudin berkata, kesemua keluarga mangsa sudah dimaklumkan kejadian dan tiba untuk mengikuti perkembangan operasi pencarian.

“Kita berdoa supaya kesemua mangsa ditemui dengan secepat mungkin,” katanya yang turut memaklumkan perkara itu kepada pihak Persatuan Nelayan Kawasan Dungun untuk bantuan.

Dalam pada itu, keluarga mangsa dan penduduk turut mengadakan solat hajat di kawasan pantai, memohon operasi SAR dipermudahkan dan mangsa ditemui segera.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, Mohamad Zul Fahmi Zuki, 21, Mohamad Amir, 21, Mohammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak besar.

Bagaimanapun, dua lagi rakan mereka, Muhamad Irfan Kamaruzaman, 21, dan Hazman Zamili, 21, terselamat.

Berita berkaitan:

  • 4 penuntut politeknik dikhuatiri lemas [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 10:46 AM
    PENDUDUK kampung dan keluarga mengadakan solat hajat di Pantai Teluk Bidara Seberang Pintasan. FOTO Rosli Ilham
    PENDUDUK kampung dan keluarga mengadakan solat hajat di Pantai Teluk Bidara Seberang Pintasan. FOTO Rosli Ilham