HASBULLAH (lima dari kiri) dan Adrian bersama barisan pelakon Bakara. FOTO Nor Farhani Che Ad.
Nor Farhani Che Ad


SELEPAS Paskal dan Wira, filem Bakara bakal muncul yang mengangkat peristiwa sebenar pertempuran Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia.

Tentera Darat Malaysia bekerjasama dengan produksi tempatan untuk menghasilkan filem itu.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, filem itu arahan Adrian Teh yang menghasilkan dua filem berkaitan pasukan keselamatan sebelum ini.

Katanya, melihat kejayaaan dua filem terdahulu arahan Adrian membuatkan pihaknya yakin filem Bakara mampu direalisasikan dengan jayanya.

“Sebelum ini kita menerima empat kali pelawaan daripada beberapa syarikat produksi untuk menjadikan kisah ini sebagai sebuah filem, namun kali ini baru terbuka hati.

“Kita berharap filem ini dapat membawa sudut pandang yang berbeza berbanding dengan apa yang ditunjukkan filem antarabangsa sebelum ini,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Penerbitan Filem Bakara di Padang Kawad Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanize, Kem Lapangan Terbang di Sungai Petani.

Mengulas lanjut, Hasbullah berkata, filem itu akan digarap berdasarkan maklumat mereka yang terbabit secara langsung dalam pertempuran di negara berkenaan.

Menurutnya, TDM juga akan memberi kerjasama dari aspek teknikal, peralatan, pakaian seragam keanggotaan, persenjataan dan khidmat rundingan.

“Kita harap filem ini akan menjadi salah satu filem yang boleh menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sekali gus menaikkan jati diri dan semangat cintakan negara,” katanya.

Sementara itu, Adrian berkata, beliau terpanggil untuk mengarahkan filem itu berikutan kejadian dan fakta sebenar pertempuran pada tanggal 3 dan 4 Oktober 1993 tidak begitu diketahui orang ramai.

“Memandangkan ini adalah misi berprofil tinggi, kami berhasrat untuk menyampaikan cabaran, peranan dan pengorbanan tentera Malaysia dalam misi itu kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, penggambaran filem dijadualkan bermula sekitar Jun 2020 dan tayangannya dijangka pada Ogos 2021.

Katanya, filem yang bakal membabitkan anggaran kos kira-kira RM20 juta itu, bakal dibintangi pelakon ternama tempatan seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam, Remy Ishak, Hairul Azreen, dan Fauzi Nawawi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 11:59 AM