ZUKI (kanan) dan Maznah (kiri) bersama ahli keluarga selepas tiba di Pantai Teluk Bidara Seberang Pintasan, Dungun untuk proses mencari anaknya yang dikhuatiri lemas. FOTO Rosli Ilham.
ZUKI (kanan) dan Maznah (kiri) bersama ahli keluarga selepas tiba di Pantai Teluk Bidara Seberang Pintasan, Dungun untuk proses mencari anaknya yang dikhuatiri lemas. FOTO Rosli Ilham.


“KETIKA makan tengah hari di rumah, saya tiba-tiba teringat kepadanya. Tidak sangka rupanya itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga,” kata Zuki Abdul Razak.

Zuki, 55, adalah bapa kepada Zul Fahmi Zuki, 21, yang hilang dipercayai lemas bersama tiga rakannya di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, Dungun, petang semalam.

Zuki yang tinggal di Perumahan Taman Perwaja, Kemaman berkata, dia teringat kerana memikirkan keadaan anaknya memandangkan kali terakhir dia memasukkan duit RM50 ke dalam akuan anaknya itu pada Jumaat lalu.

“Saya teringat sangat padanya sama ada duit RM50 cukup untuk makan minumnya kerana saya tak dapat bagi lebih kerana gaji sebagai pemotong rumput tidak banyak.

“Kali terakhir saya bertemu dengan Zul Fahmi yang juga anak kedua daripada lima beradik itu pada 3 Januari lalu.

“Kali ini dia pulang ke rumah dalam keadaan pelik, dia banyak berdiam diri dan kurang bercakap dengan saya, ibu serta adik beradik lain.

“Saya tak tanya, mungkin dia sibuk dengan pelajarannya sehinggakan ibunya, Maznah Muda, 55, turut perasan dengan sikap peliknya itu,” katanya.

Zuki berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu daripada rakan anaknya pada 7.30 malam.

Katanya, selain terkejut, perasaan rindu terhadap anaknya itu tiba-tiba datang sebelum dia meminta isterinya bersiap untuk ke Dungun.

“Saya sangat sedih dan tidak berhenti menangis sehinggakan kereta dipandu dua kali terbabas dan hampir kemalangan ketika dalam perjalanan ke Dungun.

“Berikutan bimbang akan keselamatan, saya meninggalkan kereta sebelum meminta bantuan ahli keluarga untuk menghantar saya ke sini.

“Saya tiba pada 11 malam tadi dan barulah dapat penjelasan bagaimana anak dan rakannya terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Maznah berkata, Zul Fahmi ada menghantar aplikasi WhatsApp pada 4 petang dan memaklumkan dia tidak pulang kerana menyertai pemilihan sukan olahraga Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Dia ada memberitahu sudah dapat wang pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Dia meminta maaf kerana wang itu tidak dapat diberikan kepada saya untuk perbelanjaan kerana duitnya itu akan digunakan untuk membayar semua hutang yang dipinjam untuk pelajaran, rumah sewa dan makan minumnya,” katanya.

Katanya, dia berpesan kepada anaknya supaya menjaga diri dan belajar dengan sebaik mungkin.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, Zul Fahmi dikhuatiri lemas bersama tiga rakannya, Mohamad Amir, 21, Mohammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21.

Dua lagi rakan mereka, Muhamad Irfan Kamaruzaman, 21, dan Hazman Zamili, 21, terselamat apabila dipukul ombak besar ketika mandi di pantai itu.

Berita berkaitan

'SAR empat penuntut PSMZA diteruskan'

'[UPDATE] Terpisah dipukul ombak'

'4 penuntut politeknik dikhuatiri lemas [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 12:14 PM