MASJID Razaleigh hampir siap dan dijangka dibuka April. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


MASJID Razaleigh yang menyerupai model Masjidil Haram di Makkah bakal dibuka pada April.

Masjid itu terletak di Bandar Lam, Gua Musang dibina dengan kos RM28 juta sekali gus mercu tanda baharu di Kelantan.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pembinaannya bermula penghujung 2016, kini dalam fasa akhir sebelum dibuka sempena Ramadan.

“Hanya kerja-kerja kecil pembinaan yang perlu disiapkan termasuk memasukkan kemudahan elektrik.

“Juga yang belum dapat dilaksanakan, iaitu ‘Kaabah’ yang kita nak bina berserta skrin LED untuk ayat suci al-Quran.

“Selepas itu, ia akan dibuka diharap dapat tampung jemaah bersolat Tarawih nanti,” katanya ketika meninjau masjid itu, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, masjid itu boleh memuatkan lebih 3,000 jemaah mempunyai rekaan unik, dibina dengan bahan binaan berkualiti tinggi akan turut jadi perhatian pelancong.

“Belum lagi siap pun sudah ada pengunjung luar datang melihatnya,” katanya.

Menurutnya, siapnya masjid itu membolehkannya digunakan untuk solat Jumaat.

Masjid Razaleigh dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah, dilengkap kemudahan yang lebih baik berbanding masjid sebelumnya disamping ruang yang luas.

Ruangan tengah masjid itu turut dibina supaya sesuai untuk bakal jemaah haji menjalani kursus dengan mengelilingi kaabah buatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 12:20 PM