MAYAT Salminyah dibawa keluar dari lokasi penemuan oleh pasukan mencari dan menyelamat. FOTO Amran Yahya


“SAYA bersyukur misteri kehilangan adik akhirnya terjawab, meskipun ditemui sudah tidak bernyawa lagi,” luah Kalsom Mohd Yusof, 70.

Kalsom adalah kakak kepada wanita orang kurang upaya (OKU), Salminyah, 67, yang dilaporkan hilang, sejak 2 Januari lalu.

Mayat Salminyah ditemui pasukan Ronda Khas dari Balai Polis Kuala Pilah ketika mengunjungi rumah Kalsom di Kampung Sungai Dua, kira-kira 3 petang semalam.

Menceritakan kembali penemuan mayat adiknya, Kalsom berkata, pada mulanya, sekumpulan tiga anggota polis datang ke rumahnya untuk siasatan susulan perkembangan kes kehilangan adiknya itu.

Menurutnya, kehadiran polis ke rumahnya itu juga sudah menjadi rutin sejak adiknya hilang bagi memaklumkan perkembangan siasatan, selain bertanya perkembangan keluarga mereka.

“Ketika ingin beredar, mereka (polis) terhidu bau busuk dan mencari punca bau itu.

“Mereka meninjau kawasan hutan berhampiran sebelum ternampak mayat adik saya di celah pokok,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Kalsom berkata, dia sekeluarga tidak terfikir mencari adiknya di kawasan itu kerana ia berbukit dan agak sukar untuk wanita berusia seperti adiknya pergi ke situ.

“Jika difikirkan, mustahil untuk wanita OKU seperti adik saya ke kawasan berbukit itu, namun semua itu kuasa Allah, kami reda dengan ‘kehilangan’ ini.

“Walaupun sedih dengan kehilangan itu, saya tetap bersyukur jasad adiknya ditemui selepas 15 hari dilaporkan hilang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Mohd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu.

“Mayat mangsa itu ditemui dalam keadaan mengiring dan lengkap berpakaian berhampiran sebatang pokok, kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.

“Mayat ditemui kira-kira 3.30 petang. Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum ditemui,” katanya.

Operasi mengeluarkan mayat mangsa dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah.

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Simpang Pulau Pandan, Kuala Pilah, hari ini selepas solat Zohor.

Berita berkaitan

'Mano ekau poe dik?'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 12:28 PM