Mohd Shafie menaiki motosikal untuk melawat PDM di Kimanis. FOTO Juwan Riduan
Mohd Shafie menaiki motosikal untuk melawat PDM di Kimanis. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat kelainan dengan membonceng motosikal melawat semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kimanis, hari ini.

Mohd Shafie yang membonceng motosikal berkonvoi sejak awal pagi tadi melawat ke semua PDM bermula di Bongawan.

Beliau yang tiba di PDM Batu Enam, Kalatuan disambut meriah oleh orang ramai dan mereka tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar.

Katanya, beliau tidak kisah dengan panas terik pada tengah hari ini bagi menyaksikan sendiri proses pengundian berjalan dengan lancar.

"Ada jalan sempit, guna motosikal lebih cepat untuk saya sampai masuk ke PDM. Kalau saya tidak naik motosikal tidak sampailah sebab sesak.

"Saya ada 19 PDM yang mahu ditinjau sebelum proses mengundi tamat jam 5.30 petang," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah yakin pengundi di PRK Kimanis menunaikan tanggungjawab mereka.

"Alhamdulillah, proses perjalanan pilihan raya di Kimanis ini berjalan lancar. Saya turut memantaunya ada setengah tempat peratusannya sudah mencecah 30 peratus, ada setengah tempat sudah cecah 21 peratus... penting bagi kita perjalanannya kerana ia dilaksana dengan baik.

"Di sini, tidak ada masalah sangat dari segi insiden tidak ingini. Kita berharap dan berdoa proses demokrasi iaitu untuk mereka setiap rakyat Malaysia dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 1:46 PM