X
PENGUNDI Rusni Jaison, 30, memasukkan kertas undi sambil mendukung anaknya di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Cheng Ming. FOTO Bernama
PENGUNDI Rusni Jaison, 30, memasukkan kertas undi sambil mendukung anaknya di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Cheng Ming. FOTO Bernama
BERNAMA

SEBANYAK 50.37 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sudah menunaikan tanggungjawab mereka, setakat 12 tengah hari ini, empat jam setengah selepas semua 19 pusat mengundi dengan 68 saluran dibuka tepat pukul 7.30 pagi ini.

Proses pengundian yang akan berlangsung sehingga 5 petang ini, membabitkan 29,619 daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada jumlah itu akan mengundi hari ini.

Dua calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen itu, calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Karim Bujang dan Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin, masing-masing selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis dan SK Our Lady of Fatima (M) Kampung Kelatuan di Kimanis, seawal 9 pagi ini.

Sejak awal pagi, Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun sudah meninjau perjalanan pilihan raya kecil itu di tiga pusat mengundi di SK Belatik, Papar; SK Sumbiling; dan SK Viging Ulu di Bongawan.

Azhar ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat mengundi di SK Viging Ulu berkata, setakat ini proses pengundian PRK Parlimen Kimanis berjalan lancar tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.

Tinjauan Bernama mendapati cuaca yang baik sepanjang pagi ini, menyaksikan ramai pengundi mengambil peluang menunaikan tanggungjawab masing-masing, namun jumlah itu berkurangan pada tengah hari ini berikutan cuaca panas mencecah sehingga 27 darjah celsius.

Pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK Parlimen Kimanis ialah di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.

SPR menjangkakan keputusan PRK itu dapat diumumkan sebelum 10 malam ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim, 67, dan Mohamad, 48 tahun.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 1:47 PM
    Kabinet Malaysia 2020