Nor Fazlina Abdul Rahim


POLIS Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM141,000 menerusi dua serbuan berasingan di Kota Bharu.

Serbuan dilakukan di Kampung Petani Sering dan Kampung Bukit Cina dekat Ketereh semalam dan kelmarin turut menahan tiga lelaki berusia 40 hingga 51 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata serbuan pertama di rumah di Kampung Petani pada 12 tengah hari membawa kepada penahanan lelaki berusia 42 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan di sebuah bilik rumah itu menemui beg hitam mengandungi satu tiub straw berisi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 0.2 gram.

“Pemeriksaan lanjut di luar rumah iaitu di dalam topi keledar menjumpai satu plastik mengandungi botol plastik cerah diisi serbuk keputihan seberat 40 gram dipercayai dadah jenis heroin.

“Suspek berasal dari Kota Bharu seorang penganggur dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah. Dia direman seminggu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media, hari ini.

Hasanuddin berkata, serbuan kedua di Kampung Bukit Cina pada 12.15 tengah malam pula menahan dua lelaki berusia 40 dan 51 tahun di sebuah rumah.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam dan luar rumah menemui 50 botol dipercayai dadah jenis heroin dan 2,100 biji dipercayai pil yaba.

“Kedua-dua suspek positif methamphetamin dan direman selama seminggu. Seorang daripada suspek mempunyai empat rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 2:27 PM
HASANUDDIN bersama Timbalannya, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Zaman Huri Isa.
HASANUDDIN bersama Timbalannya, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Zaman Huri Isa.
Digital NSTP Subscribe