PASUKAN penyelamat menjalankan SAR bagi mengesan empat mangsa lemas. (Gambar kecil) Sabarudin. FOTO Rosli Ilham.
PASUKAN penyelamat menjalankan SAR bagi mengesan empat mangsa lemas. (Gambar kecil) Sabarudin. FOTO Rosli Ilham.


“SEBAIK selesai solat Asar petang semalam, saya terkejut dan perasan kain pelikat dipakai itu mengalami koyak besar.

“Saya termenung seketika dan mengikut firasat orang tua petanda itu bermakna ada sesuatu tidak baik akan berlaku,” kata Mohamed Sabarudin Mohamed Ali, 58.

Sabarudin adalah bapa kepada Mohamad Luqman Hakim Al Rashid, 21, salah seorang daripada empat mangsa lemas di Pantai Teluk Bidara Seberang Pintasan, Dungun, petang semalam.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori di Shah Alam, Selangor berkata, dia berhenti solat di masjid terbabit, pada 6.30 petang.

“Pada 7.15 malam, saya terima panggilan daripada abang Muhamad Luqman memaklumkan Mohamad Luqman lemas di Dungun.

“Selepas itu, saya segera ke stesen bas di Shah Alam dan bertolak ke Dungun pada 10 malam dan tiba pada 4 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, isterinya, Rahmah Isa, 55, bersama tiga anak lain tinggal di Kampung Setali Galing, Kuantan dan dia meminta mereka tidak menunggunya, sebaliknya terus bertolak ke Dungun.

Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu pada hujung Disember lalu ketika pulang bercuti di Kuantan dan tidak menyedari sesuatu yang pelik ketika itu.

“Kelmarin (Khamis), dia ada menghubungi saya dan meminta penyata gaji saya kerana hendak meminta bantuan pelajaran dengan Politeknik tempatnya belajar itu.

“Saya tidak dapat berikan pada hari itu kerana kerani di pejabat bercuti dan berjanji akan menghantar kepadanya petang semalam,” katanya.

Menurutnya, dia dan isterinya itu sering berpesan kepada mangsa supaya tidak mandi pantai termasuk di kawasan air terjun memandangkan banyak kes berlaku kejadian lemas.

Katanya, Mohamad Luqman tidak pandai berenang dan walau ke mana sekali pun dia pergi dia tak pernah mandi sungai atau pantai.

“Kerana itu, saya sangat terkejut apabila dia dikatakan lemas bersama tiga lagi rakannya.

“Saya sangat berharap supaya anak segera ditemui dan kami sekeluarga reda sekiranya dia ditakdirkan meninggal dunia dan akan mengebumikan jenazahnya di kampung neneknya di Panchor Kuala Dong, Raub,” katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, selain Mohamad Luqman, tiga lagi rakannya, Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, 21, Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, turut lemas.

Bagaimanapun, dua lagi rakan mereka, Muhamad Irfan Kamaruzaman, 21, dan Hazman Zamili, 21, terselamat dalam kejadian itu.

Sehingga 1.30 tengah hari ini, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih belum menemui hasil.

Berita berkaitan

'Kes lemas kedua babitkan penuntut PSMZA'

'Kereta terbabas teringat anak'

'SAR empat penuntut PSMZA diteruskan'

'Mohamad Amir mahu wakil negara - Guru silat'

'[UPDATE] Terpisah dipukul ombak'

'4 penuntut politeknik dikhuatiri lemas [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 3:08 PM