Laporan portal Harian Metro
Laporan portal Harian Metro
Juwan Riduan


KUMPULAN bersenjata yang menculik lima nelayan warga Indonesia di Perairan Tambisan, Lahad Datu, disyaki kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kejadian berlaku pada 15 Januari lalu, namun polis hanya menerima laporan semalam.

“Kejadian membabitkan sebuah kapal nelayan dirampas oleh sekumpulan enam lelaki yang bersenjata api.

“Semua suspek bertopeng dan berpakaian celoreng menaiki kapal sebelum melarikan kapal bersama lapan kru ke negara jiran,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Omar berkata, sebaik tiba di satu lokasi di negara jiran, lima daripada lapan kru kapal diculik manakala tiga lagi dibebaskan pulang ke Tambisan.

“Ketiga-tiga mangsa yang dibebaskan itu sedang disoal siasat untuk mendapatkan maklumat terperinci suspek yang terbabit dalam penculikan itu.

“Kita juga sedang menyiasat lima mangsa yang diculik tetapi semua mereka warga Indonesia berusia 29 hingga 53 tahun,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak penculikan itu dilakukan kumpulan KFR, namun belum ada permintaan wang tebusan oleh mana-mana kumpulan atau suspek yang bertanggungjawab dalam penculikan itu, setakat ini.

“Tapi kita percaya mereka adalah dari kumpulan KFR,” katanya.

Terdahulu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali mengesahkan pihaknya menerima laporan kapal nelayan hilang pada 1 tengah hari semalam, sebelum menggerakkan aset laut dan udara untuk mengesan semua mangsa.

Kejadian dipercayai berlaku pada Rabu lalu, namun dilaporkan semalam dengan kelima-lima mangsa dipercayai dibawa lari ke perairan selatan Filipina oleh sekumpulan enam suspek bersenjata.

Kapal nelayan itu berdaftar di Sandakan ditemui di perairan Tangusu Bay iaitu lokasi berhampiran kes penculikan sebelum ini.

Sebelum ini, tiga nelayan warga Indonesia, Muhamad Farhan, 27, bapanya, Maharudin Lunani, 48, dan sepupunya, Samiun Maneu, 27, diculik dari perairan Tambisan, Lahad Datu, pada 23 September 2019 ketika menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Maharudin dan Samiun diselamatkan tentera Filipina pada 22 Disember 2019.

Muhamad Farhan pula diselamatkan Rabu lalu di perkampungan Barangay, Bato-Bato, Indanan selepas hampir empat bulan berada dalam tahanan kumpulan Abu Sayyaf.

Berita berkaitan

Lima nelayan diculik militan bersenjata

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 4:16 PM
Digital NSTP Subscribe