NGIANG Tungkat dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut. FOTO Ihsan JBPM Sarawak
Mohd Roji Kawi

SEORANG lelaki warga emas yang sesat di hutan berdekatan sebatang anak sungai di Kampung Tuie Kanan SALCRA Melikin di Serian, sejak lapan hari lalu ditemui selamat, hari ini.

Ngiang Tungkat, 70, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12 jam tengah hari kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) di kampung berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, ketika ditemui mangsa dalam keadaan lemah dan kelaparan.

"Mangsa dihantar oleh Unit EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke Hospital Serian untuk rawatan selanjutnya dan operasi SAR ditamatkan pada jam 1 tengah hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa disedari hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Entayan Baru di sini kira-kira jam 9 pagi, 11 Januari lalu untuk memeriksa bubu yang dipasangnya di sebatang anak sungai di Kampung Tuie Kanan SALCRA Melikin.

Bagaimanapun, laporan kehilangannya hanya dibuat pada Rabu lalu dan JBPM menerima maklumat mengenainya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serian pada jam 5.51 petang, hari berkenaan.

Gerakan SAR diaktifkan sebaik menerima laporan itu yang membabitkan 14 anggota dari BBP Serian termasuk Unit Anjing Pengesan (K9).

Turut serta dalam operasi itu, enam anggota polis, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 30 penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 5:09 PM