ANGGOTA polis memeriksa lelaki yang ditahan ketika berjudi di mini kasino di tingkat dua pusat hiburan di Pusat Perdagangan Seri Kembangan, Kuala Lumpur, tengah malam tadi. FOTO ihsan polis.
Raja Noraina Raja Rahim


BUKAN saja menyediakan gadis pelayan pelanggan (GRO) bagi menemani lelaki berhibur, malah pusat hiburan beroperasi di Pusat Perdagangan Seri Kembangan, Kuala Lumpur, turut menyediakan mini kasino.

Aktiviti persundalan dan perjudian di premis tiga tingkat itu terbongkar hasil serbuan dilakukan Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, tengah malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dalam serbuan 12.30 tengah malam itu, pihaknya menahan seorang wanita tempatan dipercayai berperanan sebagai ‘mummy’, 25 GRO warga asing dan tempatan, 21 pekerja premis serta 11 lelaki disyaki bermain judi.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami dapati premis itu bukan saja digunakan untuk tempat karaoke, tetapi menyediakan mini kasino di tingkat dua.

“Ketika serbuan, aktiviti perjudian jenis ‘sam cheong’ dan ‘tau ngau’ sedang berlangsung membabitkan wang pertaruhan sebanyak RM15,065,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua 11 pemain iaitu lelaki berusia 19 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut selain merampas 54 keping daun terup serta dua buah dadu yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian itu.

Menurutnya, GRO ditahan terdiri daripada 19 wanita warga Vietnam, Indonesia (empat) dan tiga tempatan berusia antara 19 hingga 40 tahun.

“Mereka mengenakan bayaran sebanyak RM180 sejam kepada pelanggan yang mahu ditemani GRO.

“Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM47,536 hasil perniagaan di premis itu.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Rohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1), Seksyen 15(1)c dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 5:21 PM