NORDIN menyusun kayu api di rumahnya di Kampung Pangkalan Minyak, Ayer Molek, Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar


KETIKA kebanyakan rumah sudah menggunakan dapur gas, pencari kayu api, Nordin Mat Kaus dari Kampung Pangkalan Minyak, Ayer Molek, Melaka masih gigih meneruskan pekerjaan itu.

Nordin, 79, sudah hampir 70 tahun bekerja mencari kayu api dan dia tetap tabah dan sabar dengan tugasan berkenaan, walaupun permintaan semakin berkurangan.

Katanya, kalau 40 tahun dahulu permintaan masih tinggi berikutan kebanyakan rumah menggunakan kayu api, perubahan zaman dan teknologi merubah permintaan bahan bakar terbabit.

Apapun, dia lega masih ada membeli kayu api pokok getah bagi tujuan memasak kenduri kampung dan majlis perkahwinan, walaupun agak terhad.

“Saya bermula sejak kecil dengan membantu abang saya yang sudah pun meninggal dunia beberapa tahun lalu. Inilah rezeki membesar dan menyara 10 anak yang kini masing-masing sudah berkeluarga.

“Malah seorang daripada mereka kini membantu saya mencari kayu api di hutan atau kebun kebun milik penduduk yang kebiasaan tumbang,” katanya.

Menurutnya, dia bermula dengan menggunakan parang, gergaji dan kapak sebelum kebelakangan ini menggunakan mesin pemotong kayu.

Katanya, bagi membelah kayu api berkenaan dia masih menggunakan kapak dan ia dijual dengan harga RM100 bagi 50 keping.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 5:57 PM